Medan Selera Kg Baru yang terletak di tengah-tengah Bandar Bentong merupakan kawasan tumpuan hangat penduduk setempat dan pengunjung luar yang menggemari masakan setempat orang Bentong. Deretan kedai yang menyajikan pelbagai masakan tempatan ketika waktu makan tengahari pastinya membuatkan pelanggan rambang mata dalam memilih pilihan lauk pauk yang dihidangkan. Rata-rata pelanggan yang berkunjung kesana pasti tidak melepaskan peluang ke Gerai nombor 8, Gerai Resepi Kak Amy. Gerai makanan yang kini diusahakan oleh dua orang usahawan muda wanita itu mula bertapak di lokasi tersebut sejak tahun 1999 lagi iaitu kira-kira 15 tahun lalu.Menurut Nurfarhani Hamdan @ Adik, perniagaan masakan itu mula di usahakan oleh ibunya, Jamiah Bt Othman yang kini sudah berusia 57 tahun.

“Resepi yang disajikan sehingga kini adalah hasil resepi yang diperturunkan oleh ibu kami. Kebiasaannya, Nurhamizah Hamdan @ Angah yang akan berada di dapur untuk menyediakan segala masakan dan saya akan memastikan khidmat servis pelanggan berjalan lancar.” Ulas Adik yang baru berusia 25 tahun. Menurut mereka lagi, disamping mempelajari resepi ibu mereka, mereka turut menghadirkan diri ke kelas-kelas masakan bagi menajamkan lagi skil itu. Mereka bersyukur kerana pendedahan awal yang diberikan membuatkan mereka tidak kekok ketika di dapur. Masakan di gerai ini akan mula disajikan pada waktu makan tengahari sehinggalah tamat operasi iaitu sekitar jam 12 tengah malam.

Antara lauk yang menjadi kegemaran pelanggan gerai nombor 8 ini adalah Gulai Asam Rom, Gulai Tempoyak Ikan Patin, Sambal Hitam dan Sup Daging Segar. Menurut Puan Jamiah, sejak dahulu lagi mereka menggunakan daging segar bagi memastikan kualiti dan keenakan dalam masakan mereka. “Selang sehari kami akan ke Raub untuk mengambil sendiri daging-daging dan beberapa bahagian lain seperti tulang dan perut. Kami tidak menggunakan daging pasaraya dalam masakan kami”. Hasilnya, mereka turut menerima tempahan katering untuk majlis-majlis keramaian dan juga beberapa tempahan dari badan-badan kerajaan yang datang dari Bentong sehinggalah ke Putrajaya.

Angah yang kini berusia 28 tahun berhasrat akan terus memajukan perniagaan tersebut ke suatu tahap yang lebih membanggakan. “Ibu saya adalah ibu tunggal sejak 20 tahun lalu. Jika dahulu ibu saya membesarkan kami empat beradik secara berseorangan dengan hasil masakan gerai ini, saya tidak nampak yang diri saya dan Adik tidak mampu melonjakkannya ke suatu tahap yang lebih membanggakan dari ibu kami.”

Address: Medan Selera Kg Baru, 28700 Bentong, Pahang

Gerai Resipi Kak Amy

Medan Selera Kg Baru, 28700 Bentong